Tuesday, December 27, 2005

Hanya tinggal impian - Jun 2003

Projek bina Plaza Rakyat RM1.2b diteruskan semula

Oleh: JOHARDY IBRAHIM



KUALA LUMPUR 9 Jun - Projek pembinaan Plaza Rakyat, bersebelahan Hentian Puduraya, yang terbengkalai akibat krisis kewangan serantau 1999 akan dihidupkan kembali untuk menjadikannya sebagai satu lagi mercu tanda ibu kota.

Projek usaha sama Plaza Rakyat Sdn. Bhd. (PRSB) dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) itu dianggar bernilai RM1.2 bilion.

Projek itu akan dilaksanakan ekoran pelantikan kontraktor siap guna baru, Global Upline Sdn. Bhd. untuk menyiapkan fasa satu menjelang tahun 2006.

Pengerusi Eksekutif PRSB, Tan Sri Ting Pek Khiing berkata, Global Upline diberi kontrak menyiapkan fasa 1 dengan kos pembinaan sebanyak RM420 juta.

Fasa satu merangkumi bangunan membeli-belah tujuh tingkat, enam tingkat bawah tanah dan hotel bajet mengandungi 157 bilik dengan 1,600 ruang letak kereta.

Menurut beliau, penerusan semula projek itu tidak melibatkan sebarang perubahan dari segi perancangan reka bentuk, saiz dan kos pembinaan.

``Projek ini tidak melibatkan pengecilan skala projek.

``Dua lagi fasa pembinaan bagaimanapun, akan diputuskan kemudian,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kontrak pembinaan kepada Global Upline di tapak projek Plaza Rakyat di sini hari ini.

Global Upline diwakili Pengerusinya, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan disaksikan oleh

Datuk Bandar, Datuk Mohmad Shaid Mohd. Taufek.

Fasa kedua dan ketiga merangkumi bangunan pejabat 79 tingkat, 290 unit suit perniagaan meliputi 45 tingkat, 449 bilik hotel empat bintang dan stesen LRT (siap dalam tahun 1996).

Projek itu yang akan melengkapkan kawasan pelancongan popular Chinatown dan juga Bintang Walk, akan turut menggabungkan perkhidmatan kereta api, teksi dan bas menjadi satu pusat pengangkutan.

Sementara itu, Mohmad Shaid tidak dapat mengesahkan sama ada Plaza Rakyat akan kekal dengan matlamatnya untuk menggantikan fungsi Hentian Puduraya sebagai terminal bas dan teksi kepada warga kota.

Sebelum ini, projek pembinaan dilakukan oleh syarikat Korea Selatan, Daewoo Corporation dan telah melakukan sebanyak 30 peratus pembinaan sebelum krisis kewangan serantau merencatkan projek.

PRSB adalah anak syarikat miliki penuh Wembley Industries Holdings Bhd. yang telah disenaraikan sebagai syarikat PN4 dan kini sedang melakukan proses penyusunan semula hutangnya.

Pek Khiing berkata, pihaknya menjangkakan proses penyusunan semula itu diselesaikan pada Januari tahun depan.

Baru-baru ini, Wembley mengumumkan empat cadangannya diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang merangkumi pengurangan dan penyusunan modal, penyusunan semula hutang, terbitan hak dan meningkatkan modal saham yang layak.

Kelulusan itu diberikan dengan mengambil pertimbangan kepada kemungkinan penyertaan Daewoo Corporation dalam cadangan penyusunan semula hutang.

Kelulusan FIC juga termasuk kelulusan bagi tambahan RM112 juta stok pinjaman tak boleh tebus boleh tukar tak bercagar (ICULS) dan 11.2 juta waran untuk diterbitkan kepada Daewoo selaras dengan penyusunan semula hutang.

Sementara itu, Dr. Sulaiman yang juga bekas Menteri Pertanian berkata, Global Upline walaupun baru, memiliki rekod pembinaan yang cemerlang untuk memastikan pembinaan Plaza Rakyat disempurnakan mengikut waktunya.

Katanya, Global Upline telah berjaya menyiapkan pembinaan auxillary coffer bagi Empangan Hidroelektrik Bakun bernilai RM70 juta selain pembinaan terminal lapangan terbang Miri dan Bintulu di Sarawak - Utusan Malaysia 10 Jun 2003

0 comments: