Apakah yang dimaksudkan dengan sistem Taraddudiah
Sistem Taraddudiah berkesan
Oleh Zaitie Satibi
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan bas perantara dengan sistem Taraddudiah yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi tiga tahun lalu, membantu melancarkan perjalanan 26,000 jemaah haji Malaysia dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Tabung Haji, Shaharudin Abu Bakar, berkata menerusi sistem itu, jemaah haji dapat menunaikan rukun dan wajib haji mengikut waktunya tanpa sebarang kesulitan, berikutan jadual perjalanan bas yang cukup teratur.
“Sistem ini sangat berkesan dan buktinya buat pertama kali jemaah haji Malaysia dapat dibawa ke penempatan haji kedua di Mina Muaissim kira-kira jam 5.30 pagi tadi (10.30 pagi semalam waktu Malaysia).
“Sebelum sistem ini digunakan, jemaah haji hanya sampai di maktab itu sekitar jam 7 pagi hingga tengah hari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Makkah, malam tadi.
Menurutnya, kini semua jemaah haji Malaysia sedang berehat di khemah masing-masing sementara menunggu waktu untuk melaksanakan jamrah Aqabah dan Kubra selepas tengah malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Katanya, selepas jamrah berkenaan, jemaah haji akan bercukur atau bergunting (tahallul awal) sekurang-kurangnya tiga helai rambut.
“Jemaah haji Malaysia berehat di khemah yang boleh memuatkan sehingga 15 orang selepas selamat bermalam (mabit) di Mudzalifah. Mabit bermaksud berada di bumi Mudzalifah sepanjang malam hingga pagi atau seketika selepas tengah malam.
“Di samping bermalam di Mudzalifah, jemaah haji Malaysia mengutip tujuh anak batu untuk ibadat jamrah. Mereka dijangka bergerak ke tempat melontar mulai jam 6 petang hingga 8 malam ini (semalam),” katanya.
Shaharudin turut menyifatkan pengurusan operasi jemaah haji Malaysia musim kali ini yang terbaik walaupun seluruh umat Islam dikejutkan dengan kejadian runtuhan bangunan empat tingkat di Jalan Janduria, kawasan Al Ghazzah, dekat Masjidil Haram dan mengorbankan empat jemaah haji Malaysia, 5 Januari lalu.
Dalam perkembangan lain, bilik gerakan Tabung Haji di Mina melaporkan, kira-kira 15 jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat masalah kesihatan, termasuk seorang meninggal dunia selepas wuquf pada 10 Zulhijjah (semalam) - Harian Metro.
0 comments:
Post a Comment