Thursday, January 12, 2006

Ke arah perkhidmatan yang lebih baik

Era Mesra labur RM100 juta

Oleh Mohd Idris Sulaiman

SYARIKAT Pengangkutan Era Mesra Anak Melayu Perak (SPEMAMP) akan melabur RM100 juta untuk menyediakan perkhidmatan bas ekspres ke seluruh negara tahun ini, dalam usaha menjadikan Perak hab pengangkutan terunggul negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Nasir Mohd Rashid, berkata buat permulaan pihaknya akan menempah 11 bas bertaraf eksekutif di Rawang, Selangor dan jumlah itu akan ditambah kepada 150 kenderaan selepas dua tahun beroperasi.

“Justeru, di peringkat awal kami berhasrat untuk melancarkan perkhidmatan Ekspres Era Mesra kepada enam laluan iaitu Kuala Lumpur, Klang, Kuantan,Kuala Terengganu, Lumut dan Butterworth bulan depan,” katanya di Ipoh, baru-baru ini.

SPEMAMP yang mengendalikan Ekspres Era Mesra berpusat di Ipoh diberi 80 laluan termasuk laluan baru Lebuhraya Pantai Timur serta laluan pinggir bandar di samping turut memberi perkhidmatan ke destinasi luar seperti Singapura dan Hadyaai.

“Langkah menjadikan Perak sebagai hab pengangkutan kerana kedudukan Ipoh yang strategik iaitu di tengah laluan utama pantai barat dan juga ke pantai timur iaitu ke Kota Bharu melalui Lebuh raya Timur-Barat.

“Malah, Ipoh juga akan mempunyai satu lagi tambahan laluan utama ke pantai timur apabila jalan Ipoh-Kuala Terengganu siap tidak lama lagi,” katanya.

Mohd Nasir berkata, syarikatnya menyedari persaingan sengit dalam bidang pengangkutan dan sebagai pendatang baru, Era Mesra akan berusaha memastikan perkhidmatannya mampu menarik penumpang dengan memperkenalkan konsep mesra pelanggan.

Katanya, semua bas Era Mesra adalah jenis eksekutif yang hanya membawa 25 hingga 30 penumpang bagi tujuan keselesaan dan setiap bas dilengkapi dengan pelayan yang akan menyediakan minuman kepada penumpang serta khidmat menjaga kanak-kanak.

Menurutnya, pihaknya yakin memperoleh pendapatan sebanyak RM5 juta dalam tempoh tahun pertama operasinya - Harian Metro.

0 comments: